ISLAM SEBAGAI PENYELESAIAN  

WEAK MALAY STUDENTS?

ISLAM SEBAGAI PENYELESAIAN  

Muqaddimah

Apa yang termuat dalam risalah ini, sebahagian besarnya, adalah petikan daripada pendapat ulamak-ulamak muktabar yang jelas fikrah serta iltizam dan intizam dengan kehidupan Islam. Saya hanya sekadar menyambung lidah, menyampaikan buah fikiran dan pengalaman mereka di sepanjang hidup dalam berbagai-bagai waqi’.

Sepatutnya tajuk “Islam Sebagai Penyelesaian” menghuraikan skop dan ruang lingkup yang luas meliputi berbagai aspek kehidupan manusia. Tetapi apa yang saya akan ketengahkan di sini menyentuh perkara asas yang menjadi dasar kepada penyelesaian masalah hidup manusia dari semasa ke semasa hingga alam ini diwarisi kembali oleh  Allah SWT.

Konsep penyelesaian tersendiri

Persoalan penting, apakah yang hendak diselesaikan oleh Islam? Apakah masalah sebenar manusia yang tidak mampu diselesaikan oleh mana-mana sistem atau peraturan kecuali Islam?

Sebelum persoalan ini dijawab, perlulah difahami bahawa Islam tidak boleh dipisahkan daripada realiti hidup manusia. Kerana manusialah Islam ditanzilkan (diturunkan). Firman Allah SWT:

“Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk seluruh manusia, untuk menyampaikan berita gembira dan peringatan.” - Surah Saba’: ayat 28

Risalah Muhammad Rasulullah SAW adalah untuk kepentingan manusia. Manusia mempunyai sifat dan tabiat yang unik. Manusia terdiri daripada tiga fakulti iaitu rohi, ‘aqli dan jasmani. Ketiga-tiga fakulti ini perlu dipandu dan dikawal oleh satu sistem yang lengkap dan bersepadu untuk melahirkan manusia atau insan yang dapat berperanan sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi mengikut nilai Rabbani, sekali gus memperlihatkan kematangan serta kedewasaannya dalam kehidupan di dunia dan layak mengecapi kebahagiaan di akhirat kelak.

Kita mengetahui bahawa setiap undang-undang atau peraturan mempunyai falsafah dan konsep tersendiri. Undang-undang dan peraturan-peraturan itu, dalam perlaksanaannya, tetap akan menghadapi masalah dan mempunyai cara-cara penyelesaian tersendiri pula.

Adalah tidak logik dan tidak adil seseorang menuntut undang-undang tertentu untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul akibat daripada perlaksanaan undang-undang  yang lain.

Islam adalah undang-undang dan peraturan hidup yang lengkap. Setiap juzuk berkaitan dan berhubungan secara bersepadu membentuk kesatuan hakiki mencakup seluruh aspek kehidupan. Sekiranya Islam diberikan peluang agar tau’iyah dan tarbiyyahnya ditegakkan berdasarkan prinsip-prinsip da’wah Islamiyyah sebenar, berqudwahkan Rasulullah SAW dan berpandukan sumber wahyu Allah SWT. sehingga lahir masyarakat yang rela melaksanakan undang-undang dan peraturan Islam, maka  dikala itu logik dan adillah Islam dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang timbul. Lihatlah apakah Islam mampu atau tidak?

Bahagian [1] [2] [3] [4]

 


Sila laporkan sebarang  masalah yang dihadapi ketika melayari laman ini kepada webmaster.

Best viewed with Internet Explorer 4.0 or higher

© B'risi 2001