ISLAM SEBAGAI PENYELESAIAN  

WEAK MALAY STUDENTS?

 

ISLAM SEBAGAI PENYELESAIAN  

Realiti Umat Islam Kini

Sering terdengar percakapan-percakapan dan perbincangan-perbincangan di kalangan pemuda-pemuda dan ahli-ahli fikir Islam dewasa ini mengenai keperluan umat Islam terhadap kekuatan harta benda, ilmu pengetahuan dan pelbagai bidang ikhtisas untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi umat Islam dan membangunkan hidup mereka agar lebih maju dan makmur. Namun, amat sedikit didapati perbicaraan dan tindakan yang serius tentang keperluan umat Islam terhadap keimanan sebenar, perhubungan hati dengan Allah SWT, kepatuhan kepada titah perintah-Nya dan mencari keredhaan-Nya dalam semua amalan.

Tegasnya, seseorang perlulah faham dan sedar bahawa setiap amalan yang lakukan dan wasilah yang dimiliki, tanpa bersandarkan kepada dasar keimanan terhadap  Allah SWT, akan sia-sialah segala amalan dan wasilah itu di sisi Allah SWT. Begitu banyak harta yang menjadi milik  orang-orang Islam tetapi tidak menguntungkan Islam. Begitu juga halnya dalam bidang-bidang lain.

Rahsia Kejayaan Generasi Awal

Kejayaan generasi para sahabat yang dibentuk Rasulullah SAW dalam mengejar matlamat hidup bukanlah kerana mereka memiliki pelbagai  wasilah dan alat kelengkapan yang cukup. Rahsia kejayaan mereka ialah keimanan sejati, kepatuhan maksimum terhadap titah perintah Allah SWT dan cita-cita mendalam untuk mendapat keredhaan serta pahala daripada-Nya. Inilah rahsia menyebabkan mereka bersedia penuh  menyahut setiap hajat dan keperluan Islam dari masa ke semasa. Juga rahsia yang mendorong mereka berkorban dan bangun melaksanakan setiap tuntutan Islam tanpa rasa berat walaupun menghadapi pelbagai kesukaran.

Islam berhajatkan kerja-kerja da’wah. Maka tampillah para du’at yang jujur, berani dan sabar menyampaikan risalah Allah SWT melalui lisan dan contoh teladan meskipun menghadapi berbagai halangan dan tentangan daripada musuh. Mereka tetap meneruskan kerja-kerja da’wah tanpa takut atau mundur ke belakang.

Islam memerlukan pengorbanan harta benda. Maka tampillah mereka yang memiliki harta benda dan kekayaan, lalu menginfaq kepada Rasulullah SAW dengan penuh rela tanpa rasa bakhil atau sayang kepada harta benda itu. Hinggalah terdapat di kalangan mereka yang berkata kepada Rasulullah SAW, “Apa yang tuan ambil daripada kami adalah lebih baik daripada apa yang tuan tinggalkan.”

Islam berkehendakkan pengorbanan jiwa untuk mempertahankan kesuciannya daripada dicemari musuh. Maka berlumba-lumbalah mujahid-mujahid dan pejuang-pejuang Islam memberi khidmat suci demi menyahut panggilan Allah SWT. Sungguh banyak pengorbanan, sumbangan dan khidmat bakti mereka untuk kepentingan Islam semata-mata.

Bahagian [1] [2] [3] [4]

 


Sila laporkan sebarang  masalah yang dihadapi ketika melayari laman ini kepada webmaster.

Best viewed with Internet Explorer 4.0 or higher

© B'risi 2001