ISLAM SEBAGAI PENYELESAIAN - Bahagian 4 

Islam Bermula Dengan Usul, Tidak Dengan Furu’

Islam tidak memulakan da’wah dengan mengenengahkan permasalahan furu’ tetapi memulakannya dengan perkara usul (perkara  asas  atau dasar). Islam di peringkat awal, di zaman Rasulullah SAW, tidak meminta manusia agar bangun berjihad di medan peperangan, berpuasa, berzakat, meninggalkan arak, menjauhkan judi dan sebagainya. Tetapi Islam  di peringkat awal meminta dan menuntut supaya beriman kepada Allah SWT semata-mata. Tegasnya Islam bermula dengan ‘aqidah, tidak bermula dengan taklif atau kewajipan. Aqidahlah yang menjadi asas dalam perlaksanaan taklif (kewajipan). Islam bermula dengan batin , hati dan fikiran manusia sebelum sesuatu yang lain. Dari titik tolak aqidah yang bertempat di hati akan berlakulah perubahan dan pembangunan yang hakiki, yakni pembangunan insan di tengah-tengah alam kebendaan.

Apabila perkara dasar ini menguasai hati dan fikiran mereka yang dibentuk oleh Rasulullah SAW, lahirlah keperibadian ummah yang berorientasikan iman. Keperibadian itu  menjadi kenyataan.  Mereka iltizam dan intizam kepada titah perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW dalam berbagai aktiviti hidup pada setiap masa tanpa berhajatkan pengawasan luar. Segala sesuatu yang terdahulu menjadi masalah dalam kehidupan mereka dapat diatasi dan diselesaikan dengan senang.

Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menyelesaikan permasalahan arak hanya melalui tiga potong ayat al-Quran al-Karim. Firman Allah SWT:

“Mereka bertanyakan engkau (Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah bahawa kedua-duanya dosa besar dan ada manfaat-manfaat kepada manusia, dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.”
- Surah al-Baqarah: ayat 219

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghampiri solah ketika kamu mabuk hingga kamu tidak ketahui apa yang kamu katakan.” - Surah an-Nisa’: ayat 43

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, berhala dan tenung nasib adalah kotor dari amalan syaitan, maka hendaklah kamu menjauhinya agar kamu mendapat kejayaan.” - Surah al-Maidah: ayat 90

Dengan tiga potong ayat tersebut permasalahan arak dapat diselesaikan oleh Rasulullah SAW. Sebaliknya, kerajaan Amerika suatu ketika dahulu pernah melarang rakyatnya meminum arak. Dijalankan dia’yah (kempen) kepada masyarakat umum menentang minuman arak. Media massa kerajaan digunakan untuk tujuan tersebut. Hinggalah  undang-undang pengharaman arak dikuatkuasakan di Amerika. Kerajaan Amerika menanggung beban perbelanjaan bagi melaksanakan undang-undang tersebut sebanyak 250 juta dollar. Akibat daripada pengharaman undang-undang arak itu, seramai 300 orang dikenakan hukuman mati bersabit kesalahan arak dan 500,000 orang dipenjarakan. Denda yang dikumpulkan sebanyak 400 juta dollar. Namun akhirnya, pada tahun 1933, kerajaan Amerika terpaksa memansuhkan undang-undang pengharaman arak.

Perhatian

Setiap Muslim dan Muslimah perlu memahami secara sedar bahawa Islam sebagai peraturan hidup manusia merupakan Qadhiyyah Ilahiyyah (Permasalahan Uluhiyyah) yang bersifat samawi, tidak layak disamakan dengan peraturan-peraturan hidup ciptaan manusia. Umat Islam yang memahami hakikat ini sekali-kali tidak akan menyamakan Islam dengan mana-mana peruntukan hasil pemikiran makhluk.

Setiap Muslim dan Muslimah perlu meyakini bahawa Islam merupakan Din Allah SWT untuk manusia sejagat. Mereka perlu yakin bahawa Islam sahaja mampu menyelesaikan masalah manusia lantaran Islam ditanzilkan oleh Pencipta manusia. Sesiapa yang memilih din yang lain maka dia menempa kerugian seperti mana yang diperingatkan Allah SWT dalam Firman-Nya:

“Dan sesiapa yang mencari selain Islam sebagai Din (peraturan hidup) maka sesekali tidak diterima dan ia di akhirat kelak dari golongan mereka yang rugi.” - Surah Ali Imran: Ayat 85

-TAMAT-

Bahagian [1] [2] [3] [4]

 


Sila laporkan sebarang  masalah yang dihadapi ketika melayari laman ini kepada webmaster.

Best viewed with Internet Explorer 4.0 or higher

© B'risi 2001